6 JAN : Bencana banjir yang melanda negara telah mengakibatkan 172 jalan persekutuan dan 97 jalan negeri mengalami kerosakan, kata Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Menurut beliau, ia merangkumi jalan di enam negeri iaitu Pahang, Perak, Terengganu, Johor Bharu, Kelantan dan Selangor.
“Jumlah tersebut termasuk empat jalan runtuh, tiga dilaporkan mendap dan dua jambatan runtuh.
“Terdapat 174 kawasan membabitkan dua kawasan banjir kilat, 153 dilanda banjir dan 10 cerun runtuh dan lain-lain di lokasi bencana terbabit,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau kesan banjir di Ulu Dong, Raub di sini.
Berkenaan lawatannya itu, Fadillah berkata Angkatan Tentera Malaysia bersetuju untuk membina jambatan sementara di Jalan Lenchar yang menghubungkan tiga kampung dan perumahan PRIMA Lenchar di situ yang runtuh akibat banjir.
“Pemasangan jambatan sementara atau ‘compact bailey’ akan dipasang hari ini dan dijangka siap tengah hari esok.
“Seramai 500 penduduk di Kampung Lenchar, Kampung Tanjung Putus dan Kampung Bukit Kemuning serta perumahan PRIMA Lenchar, terputus hubungan selepas satu-satunya jambatan disini runtuh akibat banjir,” jelasnya.
Sebelum itu, Fadillah turut melawat lokasi tanah runtuh di laluan FT 218, Seksyen 3.0 Jalan Bentong-Raub yang dipercayai berpunca daripada arus air deras yang mengalir dari lokasi pembukaan hutan berdekatan kawasan itu