8 JAN: Tindakan segelintir pemimpin politik yang mendesak kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengadakan pilihan raya umum (PRU) dalam masa terdekat biarpun negara sekarang dilanda masalah COVID-19, banjir besar dan kemerosotan ekonomi dianggap sebagai perbuatan tidak bertanggungjawab.
Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, tindakan berkenaan bukan hanya mencerminkan ia adalah perbuatan tidak bertanggungjawab, malah memperlihatkan mereka hanya kemaruk kuasa dan tidak sensitif terhadap rakyat di peringkat akar umbi.
“Mendesak pilihan raya di saat rakyat dan negara berhempas pulas dengan COVID-19, banjir, ekonomi, jelas mencerminkan bukan saja tidak bertanggungjawab tapi memperagakan kemaruk kuasa dan tidak sensitif kepada derita rakyat..Itu bukan kehendak akar umbi,” kata Annuar dalam ciapan Twitter.
Dalam perkembangan lain, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh menegaskan, beliau tetap bersedia menjadi ‘jambatan penghubung’ bagi menyelesaikan pelbagai masalah berbangkit dan pertikaian yang timbul antara UMNO dan parti-parti lain yang membentuk gabungan Muafakat Nasional (MN) dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Biarpun tidak lagi memegang jawatan Setiausaha Agung BN, Annuar berkata, beliau tidak akan berputus asa untuk merapatkan hubungan antara pihak bertelagah.
“Mereka mungkin tidak selesa dengan pendirian saya namun saya yakin ramai yang lama kelamaan akan mula memahami.
“Saya tidak akan berputus asa merapatkan antara yang bertelagah.. menjadi jambatan antara dua jurang serta supaya pemimpin Melayu bersatu membela kepentingan rakyat,” katanya dalam hantaran Faceebok.
Dalam hantaran Facebook berasingan, Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, mereka tidak boleh membuang pemikirannya untuk menyatupadukan orang Melayu dan parti-parti Melayu di negara ini.
“Mereka boleh membuang saya, asalkan mereka tidak membuang pemikiran saya bahawa orang Melayu perlu bersatu, parti parti Melayu berpadu. Dan saya mahu UMNO memimpin penyatuan dan menunjangi permuafakatan nasional,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI