9 JAN : Malaysia hari ini merekodkan sebanyak 2,451 kes jangkitan baharu Covid-19, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 133,559 kes, manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 26,185 kes.
Daripada jumlah kes baharu berkenaan kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, terdapat lima kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah sebanyak 2,446 kes.
“Bagi kes penularan di dalam negara, 1,858 kes adalah warganegara Malaysia dan 588 kes adalah bukan warganegara.
“Sementara itu, Selangor terus melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 564 kes (23.0 peratus). Ini diikuti oleh Sabah sebanyak 409 kes (16.7 peratus) dan Negeri Sembilan sebanyak 351 kes (14.3 peratus).
“Sebanyak 327 kes (13.3 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (291 kes), Kluster Telok Mas (17 kes), Kluster Tembok Gajah (9 kes), Kluster Damai Pelangi (8 kes), Kluster Pagar Siput (1 kes), dan Kluster Tembok Choh (1 kes),” ujarnya menerusi kenyataan media harian Covid-19 hari ini.
Manakala, sebanyak 1,401 kes sembuh pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 adalah sebanyak 106,832 kes (80.0 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).
“Sehingga kini, terdapat 177 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 82 kes memerlukan bantuan pernafasan.
“Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan lima kes kematian COVID-19 pada hari ini melibatkan satu di Kuala Lumpir, satu di Selangor dan tiga di Johor, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 542 kes (0.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” ujarnya.