10 JAN: Setelah dikecam hebat oleh pelbagai pihak termasuk sekutunya dalam Pakatan Harapan (PH), Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow meminta maaf kepada rakyat di negeri itu hari ini kerana membeli kereta rasmi jenis Mercedes S560e.
Pemimpin DAP itu mengakui bertanggungjawab sepenuhnya atas pembelian kereta moden tahun 2019 bernilai kira-kira RM458,000 yang dibiat ketika rakyat hidup dalam keadaan sukar akibat pandemik COVID-19.
Pada masa yang sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota itu berpandangan ada keperluan untuk menukar kenderaan rasmi namun masanya kurang tepat sehingga menggusarkan rakyat.
Kon Yeow juga menyedari kecaman yang dilontarkan pelbagai pihak menjadi pengajaran terhadapnya dan kerajaan negeri Pulau Pinang.
“Kereta untuk kegunaan Ketua Menteri dibeli mengikut proses pentadbiran sewajarnya dan saya ambil maklum pandangan semua pihak berhubung isu berkenaan, saya juga mengakui perkara itu adalah satu pengajaran kepada saya dan kerajaan negeri susulan tindakan pembelian tersebut menyebabkan rakyat risau dan tersinggung.
“Namun sebagai Ketua Menteri jika ada pihak tersinggung dan rasa ia tidak tepat pada waktunya, kalau ada keperluan pun mungkin boleh ditunda sebab pandemik, saya memikul tanggungjawab terakhir pada isu ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis sumbangan ikhlas beg penyayang One Hope Charity di Pusat Khidmat Padang Kota di Georgetown hari ini.
Khamis lepas, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Pulau Pinang berkata Ketua Menteri Pulau Pinang telah dibekalkan dengan kereta rasmi baharu model Mercedes S560e bagi menggantikan kereta Mercedes S300L yang dibeli pada 2013.
Antara yang mengecam pembelian tersebut ialah Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan pemimpin-pemimpin Gerakan.
Apabila ditanya berhubung kerisauan beberapa pihak kononnya kerajaan negeri Pulau Pinang menggunakan wang rakyat untuk membeli kereta berharga ratusan ribu itu, Kon Yeow menyatakan, perkara tersebut tidak benar kerana sebenarnya kerajaan negeri sudah bersedia sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan semula.
“Sebelum isu ini dicetuskan, saya sudah arahkan exco-exco dan pegawai kewangan negeri sedia dalam menyediakan pakej bantuan jika kerajaan mengumumkan PKP semula,” jelasnya.