11 JAN: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memberi jaminan tidak akan melindungi mana-mana pegawai dan kakitangannya yang terlibat dalam kartel daging import haram.
Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee menegaskan pihaknya kini sedang menjalankan siasatan terperinci dan teliti berhubung isu tersebut yang menjadi kegusaran rakyat di negara ini.
“Saya sebagai menteri di kementerian ini tidak melindungi mana-mana warga MAFI yang terlibat,” katanya kepada pemberita selepas Amanat Tahun 2021 di kementeriannya, di Putrajaya, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai tindakan terhadap kakitangan agensi MAFI yang dipercayai terlibat dengan kartel tersebut.
Terdahulu, dua pegawai Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor direman lima hari bermula Khamis lalu selepas dipercayai dalam melindungi kegiatan kartel import daging haram.
Mereka ditahan di Pejabat SPRM Johor pada jam 11 malam, Rabu lalu bagi membantu siasatan kes kartel import daging haram.
Sementara itu, Ronald berkata tindakan pembatalan Permit Import (AP) terhadap pemegang yang didapati berselindung dengan kartel daging import haram akan dilakukan jika didapati terlibat.
Bagaimanapun setakat ini, pihaknya masih belum membatalkan sebarang AP syarikat terbabit, namun pihaknya berharap siasatan secara menyeluruh dapat diteruskan supaya kes itu dapat diselesaikan segera.
Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) juga sedang dalam proses meneliti senarai syarikat pemegang AP dan sekiranya terbabit kementerian itu tidak akan teragak-agak membatalkannya.
“Semua agensi bawah kementerian ini akan terus menggiatkan usaha bagi membendung kartel penyeludupan daging beku ini.
“Sekiranya ada pemegang AP terlibat, kita tidak teragak-agak membatalkan lesennya,” katanya.