13 JAN: Kerajaan memperuntukan keseluruhan RM2.38 bilion untuk bayaran fasa kedua Bantuan Prihatin Nasional 2.0 (BPN 2.0) yang akan dibuat, mulai 21 Januari ini.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata bayaran fasa kedua BPN 2.0 akan disalurkan kepada 11.06 juta penerima termasuk 10.6 juta penerima BPN sedia ada dan 460,000 penerima baharu.
Menurut beliau, bayaran BPN fasa kedua ini dipercepatkan berikutan pelaksanaan kembali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP).
Tengku Zafrul berkata, usaha berkenaan menunjukkan kerajaan sentiasa komited untuk memastikan bantuan yang diperuntukkan sampai kepada mereka yang disasarkan bagi menjamin kesejahteraan rakyat.
“Semakan kelulusan, boleh dibuat mulai 15 Januari 2021 di https://bpn.hasil.gov.my. Bagi penerima kategori B40, bayaran akan dikreditkan ke dalam akaun bank bermula 21 Januari ini manakala kategori M40 pula bermula 25 Januari 2021.
“Bagi penerima yang tidak mempunyai akaun bank pula, pembayaran akan dibuat mulai 25 Januari 2021 di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN). BSN akan mengeluarkan panduan SOP dari semasa ke semasa.
“Penerima di Sabah dan Sarawak tanpa akaun bank pula, pembayaran akan bermula awal Februari sehingga 1 April 2021 di lokasi yang bakal diumumkan akhir bulan ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, BPN 2.0 adalah sebahagian daripada Kerangka Inisiatif Tambahan, Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (KITA Prihatin) bernilai RM10 bilion yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 23 September 2020.
Beliau berkata, BPN 2.0 disalurkan melalui dua fasa pembayaran, iaitu pada Oktober 2020 dan Januari 2021.
“Secara keseluruhannya, jumlah penerima BPN 2.0 merangkumi 11.06 juta penerima terdairi daripada 5.82 juta individu bujang dan 5.24 juta penerima isi rumah dengan jumlah bayaran serta peruntukan keseluruhan sebanyak RM7.18 bilion,” katanya.