13 JAN : Mangsa banjir di Sarawak semakin meningkat apabila angka yang terlibat banjir sudah mencecah 358 orang berbanding 32 orang pagi tadi.
Selepas Sabah, kini Sarawak pula dilanda banjir ekoran hujan lebat yang berterusan semenjak Isnin lalu di negeri tersebut.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) juga telah mengeluarkan amaran cuaca dijangka hujan lebat akanberterusan di beberapa kawasan di Sarawak sehingga esok.
358 mangsa banjir itu telah ditempatkan di empat Pusat Pemindahan Ssementara (PPS) iaitu di Dewan Rekreasi Bimajaya, Dewan Serbaguna Taman Malihah, Rumah Kedai Batu Kawa dan Dewan Serbaguna Kampung Batu 1.
Di Sabah pula, mangsa banjir dilaporkan meningkat kepada 1,054 orang yang ditempatkan di lapan PPS iaitu di Kota Marudu, Pitas dan Beaufort.
Negeri-negeri lain seperti Johor, Pahang dan Kelantan menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah mangsa berkurangan dan setakat hari ini tiada hujan diramal berlaku.
Biarpun banjir dilihat semakin surut, namun MetMalaysia mengeluarkan amaran angin kencang timur laut berkelajuan melebihi 60 km/jam dengan ombak melebihi 4.5 meter di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur dan Sarawak yang boleh menyebabkan risiko limpahan air laut di pesisir pantai dan muara sungai di kawasan terbabit.