14 JAN: Mana-mana individu yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) khususnya merentas negeri akan dikenakan kompaun serta-merta di lapangan mulai esok.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan tegas itu akan diambil terhadap mereka yang masih berdegil.
Menurut beliau, kelonggaran masih diberikan sehingga hari ini dan mereka yang didapati melakukan kesalahan itu dinasihatkan untuk berpatah balik.
“Saya percaya, selepas esok, tindakan akan diambil. Polis tidak akan berkompromi lagi.
“Mungkin kompaun. Kita dah benarkan itu hari, kompaun mungkin dilaksanakan di lapangan,” katanya dalam sidang media di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini.
Ismail Sabri turut menyuarakan kekesalan dengan laporan sebuah portal berita kononnya beliau mengatakan boleh balik kampung sehingga 15 Januari walaupun larangan rentas negeri telah dilaksanakan sejak 13 Januari.
Beliau menegaskan bahawa laporan tersebut adalah berita palsu.
“Apa yang saya sebut sebelum ini adalah bagi mereka yang berada di kampung dan telah membeli tiket untuk kembali ke tempat kerja masing-masing, boleh diberi kelonggaran untuk bergerak rentas negeri sehingga 15 Januari dengan kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM),” jelasnya.
Berhubung tindakan penguatkuasaan, Ismail Sabri memberitahu, PDRM telah menahan 389 individu semalam atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP).
Menurut beliau, daripada jumlah itu, seramai 371 orang telah dikompaun manakala 18 orang lagi direman.
“Antara kesalahan ingkar SOP termasuk tidak memakai pelitup muka (149), gagal menyediakan peralatan/rekod butiran diri/pelanggan (92), tiada penjarakan fizikal (61), membawa penumpang berlebihan (27), aktiviti Pusat Hiburan (16), rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (9), aktiviti perjudian (8), membawa pekerja asing tanpa permit/gagal kemukakan dokumen pengenalan diri (7), ingkar arahan kuarantin (1), makan/minum di premis tanpa kebenaran (3) dan lain-lain (16),” katanya.
Ismail Sabri berkata, Op Benteng semalam menyaksikan pasukan keselamatan menahan seramai 138 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan enam tekong serta merampas sebuah bot dan 13 kenderaan darat. – Oleh HUSSAINI AMRAN