14 JAN: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menyerbu sebuah premis kedai makan di Petaling Jaya, Selangor pada jam 2.30 petang 12 Januari lalu dan berjaya menahan seramai sembilan orang warga asing.
Ketua Pengarahnya, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud berkata, pperasi ini dijalankan berdasarkan daripada maklumat aduan awam dan haril risikan JIM.
Menurut beliau, seramai 16 orang pegawai imigresen dari Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA, Putrajaya telah melakukan serbuan ke atas premis ini.
“Seramai lima orang pekerja warga tempatan dan sembilan orang pekerja warga asing telah diperiksa semasa serbuan.
“Terdapat insiden provokasi semasa pemeriksaan apabila terdapat pekerja yang cuba merakam gambar dan video serta mengganggu tugas pegawai imigresen.
“Namun, situasi ini berjaya dikawal dengan diplomasi tanpa sebarang insiden kekerasan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Khairul Dzaimee menambah, kesemua sembilan warga asing yang ditahan ini terdiri daripada enam orang lelaki warganegara Bangladesh, seorang lelaki warganegara Pakistan, seorang wanita warganegara India dan seorang wanita warganegara Indonesia yang berumur antara 27 hingga 38 tahun.
Beliau memberitahu, seorang lelaki tempatan berumur 43 tahun yang bekerja sebagai pengurus dan penyelia premis ini telah dikenakan notis untuk hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan.
“Warga asing yang ditahan ini didapati telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pas yang sah dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, kerana telah melanggar syarat pas.
“Kesemua tahanan ini telah dibawa ke Pejabat Kesihatan Daerah untuk melakukan ujian saringan COVID-19,” jelasnya.
Khairul Dzaimee berkata, setelah keputusan ujian mendapati semua tahanan negatif, mereka telah dibawa dan di ditempatkan di Lokap JIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk siasatan dan tindakan lanjut. – Oleh HUSSAINI AMRAN