18 JAN : Keadaan banjir di Pahang dan Sarawak semakin beransur pulih apabila jumlah mangsa yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) semakin berkurangan petang ini.
Manakala di Sabah, jumlah mangsa banjir semakin meningkat apabila mangsa bertambah kepada 716 orang berbanding 673 pagi tadi di mana kesemuanya ditempatkan di 17 PPS di negeri itu.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, Tenom dan Papar menjadi daerah terbaharu melibatkan pemindahan mangsa iaitu masing-masing 25 dan 19 orang, manakala tujuh daerah lain yang masih dilanda banjir ialah Kota Belud membabitkan 210 mangsa, Tuaran (115), Kota Kinabalu (101), Paitan (69), Beaufort (78), Penampang (76) dan Putatan (23).
Di Sarawak, hanya PPS bertempat di Sekolah Kebangsaan Tanah Puteh di daerah Serian yang masih beroperasi dengan menempatkan 325 mangsa.
Dalam laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), empat PPS di daerah tersebut yang beroperasi sebelum ini, iaitu Dewan Kampung Rimba Padi, Dewan Kampung Slabi Entukuh, Dewan Balek Bun Janjun dan Dewan Masyarakat Serian ditutup hari ini.
Manakala di Pahang pula, hanya 1,211 mangsa masih berada di 16 PPS di daerah Pekan, Maran dan Kuantan.
Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat melaporkan jumlah mangsa di Pekan yang sebelum ini mencecah ribuan orang, menyusut kepada 809 mangsa petang ini, diikuti Kuantan 380 dan Maran 22 mangsa.
Portal infobanjir.water.gov.my pula melaporkan paras Sungai Jelai di Lipis, masih direkodkan melebihi paras berbahaya manakala paras Sungai Pahang di Serambi, Pekan pada paras amaran.