19 JAN: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengesahkan talian telefon serta aplikasi WhatsApp beliau telah digodam oleh pihak tidak bertanggungjawab sejak jam 10 malam tadi.
Perkara itu disahkan oleh Pegawai Khasnya, Aizat Azam yang menyatakan jika menerima hantaran dan maklum balas di aplikasi Whatapps daripada nombor telefon yang digunakan oleh Ahli Parlimen Padang Terap itu, ia bukan daripada Mahdzir.
“Adalah dimohon tuan-tuan dan puan- puan untuk mengabaikan sebarang bentuk hantaran dan maklum balas yang tidak menyenangkan.
“Untuk makluman, walaupun Datuk Seri Mahdzir tidak menggunakan aplikasi Whatapps dan mematikan telefon bimbitnya, tetapi aplikasi Whatappsnya kelihatan sedang ‘online’ yang mana ia jelas menunjukkan bahawa aplikasi WhatsApp itu sedang digodam oleh seseorang.
“Buat masa ini, Datuk Seri Mahdzir terpaksa mematikan talian telefon bimbitnya bagi langkah-langkah keselamatan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Aizat berkata pihaknya juga akan membuat aduan dan laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
“Ini dilakukan bagi menyiasat tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab menggodam talian telekomunikasi beliau.
“Sebarang kesulitan di pihak tuan-tuan dan puan-puan yang cuba menghubungi Datuk Seri Mahdzir, diharap ambil maklum akan kejadian penggodaman ini,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH