19 JAN: Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said menolak dan tidak bersetuju dengan permintaan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan agar sidang Parlimen diadakan segera berikutan Proklamasi Darurat.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pengerang berkata, Fasal 14 (1) Ordinan Darurat yang baru sahaja dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini memperuntukkan bahawa Parlimen hanya boleh dipanggil sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka.
“Oleh itu, pada hemat saya, kebarangkalian Yang di-Pertuan Agong memanggil suatu persidangan Parlimen dalam masa terdekat ini ataupun membatalkan Proklamasi dan Ordinan tersebut sama sekali sangatlah tipis.
“Atas sebab-sebab yang dinyatakan di atas, maka dengan segala hormatnya saya menolak dan tidak bersetuju dengan permohonan persetujuan ke atas isu tersebut sepertimana yang diminta oleh YB Pontian melalui surat 18 Januari 2021,” katanya dalam surat jawapan kepada Ahmad yanag bertarikh hari ini.
Azalina menegaskan, sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, beliau merupakan antara individu yang paling mengutamakan dan berpegang teguh pada prinsip demokrasi berparlimen.
Walau bagaimanapun, beliau memberitahu, terdapat isu-isu perundangan yang wajar dan perlu dipertimbangkan dengan lebih mendalam sebelum persetujuan terhadap isu tersebut dapat diberikan.
“Lebih-lebih lagi kerana isu tersebut menyentuh tentang kuasa dan budi bicara Yang di-Pertuan Agong di bawah Perlembagaan Persekutuan,” jelasnya.
Azalina juga maklum bahawa kes-kes mahkamah yang dilaporkan sebelum ini telah memutuskan bahawa perisytiharan Proklamasi Darurat dan / atau pemasyhuran ordinan oleh Seri Paduka tidak boleh dicabar sama sekali mengikut peruntukan Perkara 150(8) Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berpandangan, sebarang kegusaran dan rintihan yang dialami rakyat di kawasan Parlimen masing-masing sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dan Darurat boleh dibawa untuk perhatian menteri-menteri dari UMNO secara rasmi dan tidak rasmi dalam mesyuarat Kabinet.
“Ini memandangkan Ahli-ahli Parlimen UMNO masih lagi mendapat peruntukan daripada kerajaan dan mempunyai kebebasan untuk bergerak dan merentas negeri untuk melawat dan turun ke kawasan.
“Persetujuan menubuhkan Majlis Presiden Perikatan Nasional (PN) sekitar lewat tahun lepas boleh digunakan sebagai mekanisme untuk UMNO menyalurkan apa-apa input, cadangan mahupun bagi menimbulkan apa-apa bantah atau rasa tidak puas hati berhubung apa-apa dasar kerajaan sepanjang tempoh PKP 2.0 dan darurat,” katanya.
Azallina berharap agar wakil UMNO dapat dilantik secepat mungkin dalam Jawatankuasa Khas Bebas Darurat yang bakal ditubuhkan nanti. – Oleh HUSSAINI AMRAN