2 JUN: Pihak berkuasa seharusnya tidak lagi berlengah dan menangguhkan usaha meminda undang-undang bagi memastikan individu yang didapati bersalah kerana memandu dalam keadaan mabuk dikenakan hukuman yang lebih berat.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu telah dinyatakannya pada 4 Mei lalu.
“Rakyat sedang memerhatikan dan menilai prestasi kerajaan sedia ada.
“Sekiranya kita gagal melakukan yang sepatutnya, kita bakal dihukum oleh rakyat kelak,” katanya dalam kenyataan melalui laman Facebook miliknya.
Beliau mengulas tentang insiden seorang penghantar makanan, Mohamed Zaili Mohamed, 44, meninggal dunia setelah motosikal yang ditunggangnya dirempuh oleh kereta dipercayai dipandu oleh pemandu mabuk, awal pagi semalam.
Kejadian berlaku di Lebuh Raya Sultan Iskandar menghala ke arah Jalan Tun Razak di Kuala Lumpur.
Ahmad Zahid juga kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab pemandu-pemandu mabuk terbabit.
“Walaupun banyak peringatan telah dibuat oleh pihak berkuasa nampaknya ia langsung tidak memberi sebarang kesan,” jelasnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN