21 JAN: ASEAN perlu mempertimbangkan undang-undang yang lebih tegas berkaitan ucapan kebencian bagi memastikan platform-platform digital memadamkan atau menghukum mereka yang mempromosi keganasan dan serangan sama ada secara lisan atau fizikal.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, undang-undang perlu merangkumi pelbagai aspek jenayah kebencian termasuk gangguan dan ancaman terhadap mana-mana individu berdasarkan bangsa, jantina, agama, orientasi seksual, ketidakupayaan dan kewarganegaraan mereka.
Menurut beliau, platform-platform digital sepatutnya menunjukkan akauntabiliti yang lebih tinggi di mana mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang selagi mereka mempunyai kawalan terhadap produk masing-masing.
“Saya percaya terdapat bidang-bidang di bawah undang-undang sedia ada yang perlu dikaji semula untuk disesuaikan dengan teknologi dan cabaran baharu, lebih-lebih lagi dalam parameter keselamatan ruang siber.
“Teknologi telah berkembang dengan sangat pantas dan begitu juga dengan ancaman dan cabaran siber yang baharu,” katanya ketika menyampaikan ucaptama dalam Mesyuarat Menteri-menteri Digital ASEAN Yang Pertama (ADGMIN1) cara maya di Putrajaya, hari ini.
Muhyiddin menambah, Malaysia turut mengenal pasti jenah siber rentas sempadan dan cabaran yang dihadapi untuk mengheret penjenayah siber ke muka pengadilan kerana usaha ini memerlukan pendekatan yang bersepadu.
Beliau mengingatkan semua pihak bahawa ancaman siber berubah dengan pantas dan menceroboh setiap ruang lingkup kehidupan.
Perdana Menteri menambah, ancaman itu meliputi cara kita berkomunikasi, bekerja, melakukan transaksi dalam talian, membuat pembelian dan mempertahankan keselamatan negara.
“Mereka telah menjadi semakin canggih, rumit dan melangkaui sempadan,” jelasnya.
Sehubungan itu, Muhyiddin berkata, negara-negara ASEAN tidak boleh lagi beroperasi dan bekerja secara sendirian. – Oleh HUSSAINI AMRAN