22 JAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan empat beradik selepas bertindak nekad melarikan jenazah bapa mereka dari Hospital Lahad Datu, Sabah, kelmarin.
Keempat-empat beradik berusia 26 hingga 31 tahun itu dipercayai bertindak sedemikian selepas enggan membenarkan pihak hospital menguruskan jenazah bapa mereka mengikut prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad, berkata sebelum meninggal dunia, lelaki berusia 58 tahun terbabit dimasukkan ke hospital akibat masalah kesihatan dan diletakkan di bawah kategori pesakit bawah siasatan (PUI).
Katanya, ketika di hospital, pasukan perubatan sempat memberikan bantuan pernafasan (CPR) selama 30 minit sebelum disahkan meninggal dunia.
“Petugas perubatan kemudian memberi penerangan kepada waris berhubung SOP pengurusan jenazah ketika krisis wabak COVID-19 dan keperluan menjalani ujian saringan bagi mengelakkan sebarang risiko jangkitan.
“Jenazah berkenaan juga perlu disimpan di bilik mayat Jabatan Forensik sehingga keputusan ujian COVID-19 diterima. Bagaimanapun katanya, waris enggan meninggalkan jenazah di hospital dan terus bertindak menolak jenazah keluar daripada khemah zon PUI sebelum dibawa balik ke rumah mereka,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Mengulas lanjut, Rohan berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis melakukan serbuan di rumah keluarga berkenaan di Kampung Panji, Lahad Datu, Sabah.
“Dalam serbuan itu, polis menahan empat suspek membabitkan seorang wanita dan tiga lelaki pada jam 11.30 malam.
“Jenazah berkenaan juga turut ditemui oleh pasukan serbuan di ruang tamu di rumah perkampungan atas air berkenaan,” katanya.
Rohan berkata, siasatan kes sedang dijalankan mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda atau penjara selama dua tahun atau kedua-duanya.
Beliau berkata kes berkenaan juga turut disiasat mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
“Semua suspek ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.