22 JAN : Tindakan UMNO membuat keputusan tergesa-gesa menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah kurang tepat kerana Bersatu tidak menggunakan lambangnya ketika bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti, demikian menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.
Sebaliknya, kata beliau yang juga merupakan Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC), difahamkan Bersatu akan bertanding dengan menggunakan lambang Parti Perikatan Nasional (PN) yang turut disertai oleh Pas.
“Kalau UMNO kata tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu, mereka tidak akan bertanding dalam PRU akan datang atas logo Bersatu, sebaliknya akan bertandingan atas tiket parti PN. Jadi pemimpin dan ahli UMNO, jangan fikirkan apa yang kita mahu sahaja tetapi kena fikir apa yang rakyat nak.
“UMNO kata kita kena bersama Pas, tetapi Pas tidak akan tinggalkan Bersatu dalam PRU-15. Itu kenyataan PAS sendiri dan mereka sudahpun menyertai gabungan parti PN. Inilah realiti dan kebenaran ini yang harus diterima oleh UMNO.
“Kalau UMNO buat keputusan untuk bertanding sendiri sekiranya Pas tidak setuju untuk meninggalkan Bersatu, bagi pihak UMNO Perlis saya tidak setuju. Saya berpandangan semua parti Melayu Islam dan Bumiputera mesti bersama-sama berjuang dalam PRU-15 nanti,” katanya.
Beliau menegaskan demikian dalam siaran langsung menerusi laman Facebooknya di sini, sebentar tadi.
Terdahulu, Shahidan berkata keputusan UMNO menyertai kerajaan PN dan menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri sehingga pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) adalah keputusan parti dibuat secara ‘en bloc’ selepas menandatangani akuan berkanun.
Berikutan itu, katanya lagi, jika UMNO mahu membuat keputusan keluar dari kerajaan PN maka ia perlu dibuat dengan cara ‘en bloc’ bukan secara hanya membabitkan beberapa individu tertentu sahaja.
“Itulah keputusan UMNO dan keputusan ini mendorong kita terus menyokong kerajaan PN sekarang. Kita tidak boleh buat bulan ini sokong, bulan depan tarik balik dan mahu membentuk kerajaan baharu setiap bulan.
“Walaupun ada bahagian UMNO membuat keputusan untuk menolak kerjasama dengan Bersatu, apa yang saya difahamkan adalah usul asal dihantar perwakilan UMNO Bahagian ialah berbunyi mengkaji semula kerjasama, namun ia juga bukan dibuat secara sebulat suara.
“Walaupun ada masalah di peringkat bahagian, ia bukan isu negara. UMNO Perlis sendiri bukan hanya tidak bersetuju dengan usul berkenaan malah menolak cadangan diadakan PRU-15 secepat mungkin kerana kami baharu sahaja menang PRU-14 berdasarkan undi dan mandat rakyat,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Shahidan berkata tiada sebab kukuh untuk mengadakan PRU-15 sekarang kerana UMNO telah berjaya tubuhkan kerajaan Perlis dengan majoriti dua pertiga.
“Jadi kenapa kami nak buat PRU sekarang yang boleh mencetuskan kemarahan rakyat. Di peringkat Parlimen pula kami menang dua daripada tiga kerusi. Justeru, kami membawa usul lain iaitu menyokongan dasar No Anwar No Dap dan menyokong kerajaan PN sehingga PRU-15,” katanya. – Oleh Haika Khazi