23 JAN: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah pun mewujudkan kembali TV Pendidikan pada 6 April 2020 sejurus pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama pada 18 Mac tahun lalu dalam menghargai pandangan dan saranan pelbagai pihak berkaitan siaran tersebut.
Menterinya, Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata KPM sentiasa berusaha untuk terus memperkasa TV Pendidikan yang kini bersiaran selama sembilan jam sehari di beberapa stesen televisyen dengan pendekatan bersesuaian.
“Sebagaimana yang kita maklum, TV Pendidikan di televisyen konvensional yang bermula pada 1972 telah dipindahkan ke dalam talian melalui EduwebTV pada 1 Mac 2008. Bermula pada 1 Januari 2009, TV Pendidikan tidak lagi disiarkan di saluran TV konvensional.
“KPM telah mewujudkan semula TV Pendidikan konvensional bagi membantu murid yang tidak mempunyai akses internet atau peranti sesuai untuk mengikuti kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR),” ujarnya.
Tambah beliau, pada masa ini, TV Pendidikan bersiaran selama sembilan jam sehari iaitu dua jam di TV Okey, empat jam di Astro Tutor TV dan tiga jam di NTV7.
“Kami sedar jumlah masa siaran ini masih belum mencukupi dengan mengambil kira keadaan semasa. KPM sentiasa komited untuk melakukan yang terbaik,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH