25 JAN: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) akan membuat laporan polis terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa cuba menghasut Ahli-ahli Parlimen agar menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi membatalkan Proklamasi Darurat.
Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berkata, laporan polis itu perlu dibuat berdasarkan kepada seruan hasutan Anwar kepada Ahli Parlimen agar menghantar surat tersebut.
Menurut beliau, umum mengetahui peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 150(8)(a), Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa penuh memperkenankan Darurat namun Ketua Pembangkang itu masih mendakwa mempunyai sokongan sebanyak 114 atau 115 bagi mengadakan sidang Parlimen.
“Setelah Seri Paduka berpuas hati dan kepuasan hati baginda berkenan membuat keputusan darurat adalah tidak boleh dicabar oleh mana-mana pihak dimana-mana mahkamah didalam negara ini. Keputusan Seri Paduka adalah mutlak dan sah.
“Maka perbuatan Anwar dianggap merupakan satu bentuk hasutan dan boleh menimbulkan perasaan gelisah dikalangan rakyat negara ini, juga satu tindakan yang bertentangan dengan undang-undang ordinan darurat yang dikuatkuasakan,” katanya, hari ini.
Justeru itu, Mohd Zai memberitahu adalah wajar pihaknya melakukan laporan polis terhadap Ahli Parlimen Port Dickson itu bagi menghentikan tindakan menghasut agar satu siasatan serta pencegahan dapat dilaksanakan bagi menjamin kestabilan negara.
“UMMAH menyeru rakyat Malaysia agar bersama-sama mematuhi keputusan yang telah dibuat oleh kerajaan bagi membendung wabak COVID-19 yang sedang dihadapi oleh negara,” katanya.
Terdahulu, laporan polis itu telah didahului oleh UMMAH Perak setelah menerima cadangan daripada salah seorang panelis iaitu penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff dalam webinar Isu Semasa ‘Proklamasi Darurat: Apa Keperluannya?’ yang dianjurkan UMMAH, semalam.
Webinar semalam itu juga telah mempersetujui satu resolusi yang menegaskan bahawa Proklamasi Darurat diumumkan itu adalah keputusan yang sangat bijaksana dari Yang di-Pertuan Agong dan bertepatan Perlembagaan Persekutuan.
Malah, ia telah mengambil kira nasihat keselamatan awam dari pakar kesihatan negara iaitu Ketua Pengarah Kesihatan dan juga menepati maqasid syariah sebagaimana yang ditentukan oleh agama Islam.
“Maka adalah menjadi tanggungjawab dan kewajiban kepada seluruh rakyat Malaysia mentaatinya tanpa ragu-ragu lagi dan sebarang percubaan pihak tertentu mempersoalkan tindakan keputusan Yang di-Pertuan Agong adalah merupakan penderhakaan yang boleh diambil tindakan undang-undang,” katanya.