26 JAN: Kerajaan boleh mempertimbangkan cadangan pemberian kupon bernilai antara RM500 hingga RM1,000 bagi membantu ibu dan penjaga daripada golongan B40 dan M40 membeli peranti bagi memudahkan anak-anak mereka mengikuti Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).
Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, kupon tersebut juga boleh digunakan untuk membayar bil internet.
“Kerajaan boleh belanja dengan menyediakan kupon subsidi hanya untuk pembelian komputer riba – misalnya RM1,000 untuk B40 dan RM500 untuk M40.
“Jika ia digunakan secara menyeluruh pun, jumlah belanja adalah RM3 bilion. Tak sampai 1 peratus Belanjawan 2021. Baik kupon fizikal mahupun e-wallet, kedua-duanya boleh dipertimbang,” katanya dalam satu kenyataan, sebentar tadi.
Beliau juga berharap kerajaan tidak akan meletakkan syarat ketat dan rumit bagi permohonan kupon berkenaan bagi memastikan matlamat asal program berkenaan dapat dicapai.
Shahril mencadangkan supaya ibu bapa dan penjaga diberi kelonggaran untuk menentukan jenis peranti yang ingin dibeli.
“Tambahan lagi, kupon atau baucar untuk menambah kitaran belanja dalam ekonomi, insya-Allah tidak ada masalah,” jelasnya. – Oleh HAIKA KHAZI