26 JAN: Hanya lima ahli jawatankuasa atau petugas yang dibenarkan hadir ke kuil untuk menjalankan upacara keagamaan sempena sambutan Hari Thaipusam pada 28 Januari ini.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semua penganut Hindu yang lain digalakkan melakukan upacara sembahyang di rumah masing-masing.
“Setelah meneliti semua aspek termasuk peningkatan kes harian yang masih tinggi serta mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan, kerajaan memtuskan bahawa ucapara Thaipusam pada tahun ini adalah tidak dibenarkan,” katanya dalam sidang media di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau menambah, aktiviti menziarah juga tidak dibenarkan pada hari tersebut.
Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri memberitahu, sidang khas Majlis Keselamatan negara telah mempertimbangkan permohonan khas daripada pengurusan Kuil Sri Mariamman, Kuala Lumpur untuk membenarkan pergerakan membawa arca Dewa Murugan dari kuil tersebut di Jalan Tun HS Lee ke Kuil Sri Subramaniar, Batu Caves.
Menurut beliau, kebenaran itu diberikan dengan syarat pengurusan kuil mesti mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat seperti berikut:
Pedati dibenarkan bergerak dari Kuil Sri Mahariamman ke Kuil Sri Subramaniar bermula jam 3 pagi pada 27 Januari.
Perarakan penganut untuk mengiringi pedati membawa arca Dewa Murugan adalah tidak dibenarkan.
Hanya 10 orang sahaja dibenarkan untuk berada di dalam atau atas kenderaan yang membawa pedati termasuk pemandu dengan pengawasan ketat Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pedati tidak dibenarkan melakukan persinggahan sepanjang perjalanan menuju ke Kuil Sri Subramaniar.
Pedati bergerak balik dari Kuil Sri Subramaniar menuju ke Kuil Sri Mariamman bermula jam 3 pagi pada 29 Januari.
Pihak pengurusan kuil dikehendaki menyelaras perjalanan pedati serta jalan-jalan yang akan dilalui bersama PDRM dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Orang ramai tidak dibenarkan berada di pinggir jalan untuk menonton pergerakan membawa pedati tersebut.
Ismail Sabri berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar SOP sepanjang upacara itu. – Oleh HUSSAINI AMRAN