26 JAN: Pasangan suami isteri yang berjauhan atas sebab bekerja dibenarkan untuk merentas negeri bertemu keluarga masing-masing mulai esok.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka perlu mendapat kebenaran dan kelulusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terlebih dahulu.
“Walau bagaimanapun, bagi pasangan yang bergejala, mereka dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan terlebih dahulu sebelum bergerak pulang,” katanya dalam sidang media di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur hari ini.
Berhubung tindakan penguatkuasaan, beliau memberitahu, seramai 482 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) semalam.
Ismail Sabri menambah, daripada jumlah itu, seramai 444 individu telah dikompaun manakala 38 lagi direman.
“Antara kesalahan ingkar SOP termasuklah tiada penjarakan fizikal (123), tidak memakai pelitup muka (114), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri/pelanggan (72), rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (53) dan lain-lain (120),” jelasnya.
Beliau berkata, pasukan keselamatan juga berjaya menahan tiga pendatang asing tanpa izin dan merampas empat kenderaan darat dalam Op Benteng di seluruh negara semalam.
“Dalam operasi itu juga, sebanyak 138 bot/kapal turut dikesan di perairan negara melalui tujuh aktiviti penglihatan,” katanya.
Pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga telah melakukan 1,731 pemeriksaan khas Pematuhan SOP.
Daripada jumlah itu, 1,716 premis mematuhi SOP, empat diberi nasihat, lima dikenakan amaran manakala enam lagi premis dikompaun.
Mengenai berita palsu, sehingga semalam, sebanyak 279 kertas siasatan telah dibuka oleh PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berhubung berita palsu berkaitan COVID-19.
Daripada jumlah itu, sebanyak 141 kes masih dalam siasatan, 35 kes telah didakwa di mahkamah, 12 kes diberi notis amaran.
Bagi kes yang telah didakwa di mahkamah, sehingga kini 21 telah didapati bersalah manakala 13 lagi dalam proses perbicaraan.
Pasukan Respon Pantas (PRP) di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia juga telah mengeluarkan sebanyak 425 penafian dan penjelasan mengenai berita palsu berkaitan COVID-19. – Oleh HUSSAINI AMRAN