27 JAN: Pertubuhan Gerakan Penegak Suara Selangor (GAPENAS) menggesa polis mengambil tindakan terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana didakwa menghasut Ahli Palimen mempersembahkan surat kepada Yang di-Pertuan Agong supaya membatalkan Proklasmasi Darurat.
Berikutan itu Pengerusi GAPENAS, Nasiruddin Mohamed membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang hari ini bagi meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan rapi terhadap Presiden PKR berkenaan.
Nasiruddin berkata, beliau terpanggil membuat laporan polis selepas membaca satu artikel bertajuk ‘Anwar gesa MP utus surat pada Agong batalkan darurat’ disiarkan oleh sebuah portal berita pada 14 Januari lalu.
“Kenyataan Datuk Seri Anwar selaku Presiden PKR meminta semua Ahli Parlimen mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon proklamasi darurat dibatalkan dan Parlimen bersidang secepat mungkin.
“Kenyataan berkenaan turut dikongsi dalam laman Facebook Anwar Ibrahim biarpun sudah dipadamkan namun ia sudah tersebar luar di media dan seluruh negara termasuk menerusi portal berita berkenaan.
“Perbuatan Ahli Parlimen Port Dickson berkenaan jelas bertentangan dengan Perkara 150(8) Perlembagaan Persekutuan yang secara jelas menyatakan bahawa ‘hal puas hati Yang di-Pertuan Agong adalah muktamad dan konklusif serta tidak boleh dicabar atau dipersoalkan dalam mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan,” katanya dalam sidang media selepas membuat laporan polis tersebut.
Beliau berpandangan, tindakan Anwar itu jelas adalah satu hasutan kepada pihak lain supaya mencabar atau mempersoalkan Proklamasi Darurat yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong kerana perbuatannya menunjukkan penderhakaan terhadap Seri Paduka.
Nasiruddin berkata, kesalahan dilakukan Anwar adalah serius dari segi moral kerana beliau berpengaruh termasuk sebagai Ketua Pembangkang, Presiden PKR, Ahli Parlimen dan bekas Timbalan Perdana Menteri yang mempunyai ramai pengikut dan penyokong sehingga boleh membahayakan ketenteraman dan keselamatan negara.
“Berikutan itu, saya berharap pihak berkuasa terutama polis dapat menjalankan siasatan rapi dan mengambil tindak tegas terhadap Anwar berdasarkan undang-undang sedia ada,” katanya.