27 JAN: Kementerian Pendidikan boleh mampu menyediakan bahan pengajaran yang lebih efektif dengan merakam ketika sesi pengajaran disampaikan oleh guru-guru yang berpengalaman.
Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, rakaman juga boleh diedarkan kepada sekolah atau dihebahkan menerusia laman rasmi media sosial kementerian.
“Dengan cara ini, tugas guru akan lebih tertumpu kepada membimbing pelajar dan mampu memberi perhatian dalam proses membentuk kemenjadian murid.
“Keadaan semasa ‘memaksa’ guru bertindak lebih responsif melalui penggunaan pelbagai kaedah dan platform bagi proses Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR). Justeru, Kementerian Pendidikan perlu memikirkan penyelesaian terbaik dalam konteks pelaksanaan dan keberkesanan,” katanya dalam kenyataan melalui laman blog SallehSaid.com, hari ini.
Dalam pada itu, Salleh yang juga bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia menyedari Kementerian Pendidikan banyak melaksanakan pelbagai inisiatif terutamanya bagi pembelajaran dalam talian.
Namun, kata beliau, ia harus disesuaikan termasuk berpusatkan murid dengan mengambil kira kandungan pelajaran, pendekatan pembelajaran dan kaedah penilaian berbeza.
“Bagi menyelesaikan masalah capaian internet di pedalaman atau dalam keluarga kurang berkemampuan untuk memiliki komputer riba dan telefon pintar, TV Pendidikan boleh dilaksanakan dengan kerjasama penyiaran swasta agar rakaman setiap mata pelajaran boleh diulang siar 24 jam.
“Semua pihak mencari cara terbaik menghadapi isu PdPR. Oleh itu, tidak wajar kita membandingkan PdPR dalam talian ini dengan PdP secara bersemuka kerana kesan PdP di kelas melalui proses sangat matang jika hendak dibandingkan kesan PdPR dalam talian yang umurnya baru setahun jagung.
“Apa yang penting sebagai rakyat Malaysia, kita sama-sama fikirkan cara terbaik untuk memastikan pandemik COVID-19 ini berakhir,” katanya.
Salleh menambah, walaupun menerima kritikan dan pelbagai maklum balas, PdPR merupakan pilihan terbaik dan tepat memandangkan peningkatan COVID-19 di negara ini
Namun, beliau mengakui terdapat kebimbangan dan beberapa masalah yang diutarakan berkaitan PdPR iaitu isu capaian internet, kesediaan pelajar, kemampuan B40 serta M40 dan pembabitan ibu bapa.
“Berdasarkan pengalaman pelaksanaan PdPR sebelum ini, guru-guru memulakannya dalam keadaan serba kekurangan dari segi kemahiran, alatan dan rujukan.
“Dalam masa yang sama pelajar juga dilihat masih belum bersedia untuk memulakan norma baharu ini. Namun, pengalaman lalu membuatkan pelaksanaan akan bertambah baik dan lebih tersusun,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH