3 JUN: Hantaran Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam laman Facebook miliknya hari ini agak menarik.
Bukan sekadar tentang kunjungan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dan rombongannya ke rumah beliau.
Dalam hantaran itu, Ahmad Zahid membayangkan mereka sudah bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Kami sudah siap siaga untuk PRU-15. Adakah anda semua sudah bersedia bersama kami?” katanya.
Jika mengikut kelaziman, PRU-15 dijangka berlangsung selewat-lewatnya pada 2023.
Namun, ia boleh diadakan lebih awal sekiranya Parlimen dibubarkan sebelum tempoh tersebut.
Mungkin juga Ahmad Zahid sekadar berseloroh, namun melihat kepada keadaan politik semasa, apa-apa sahaja boleh berlaku dalam masa tiga tahun akan datang.
Lebih menarik, foto mereka berdua ini muncul ketika ada pihak cuba melaga-lagakan mereka kononnya Najib perlu dilantik Pengerusi BN sedangkan Ahli Parlimen Pekan itu sebelum ini sudah menegaskan beliau mahu membersihkan dirinya daripada tuduhan di Mahkamah. – Oleh HUSSAINI AMRAN