29 JAN: Malaysia tidak akan melaksanakan sekatan pergerakan sepenuhnya ke atas ekonomi walaupun sekiranya berlaku senario terburuk dalam situasi COVID-19.
Jaminan itu dinyatakan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam wawancara bersama CNBC hari ini.
Menurut beliau, kerajaan akan terus menumpu menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat sekiranya jumlah kes COVID-19 di negara ini terus meningkat.
”Berdasarkan kepada model semasa, kami percaya bilangan kes akan menurun.
“Seandainya senario terburuk (berlaku), kami tidak akan melaksanakan sekatan pergerakan sepenuhnya ke atas ekonomi, kami akan terus menumpukan kepada SOP yang lebih ketat,” jelasnya.
Tengku Zafrul menambah, kerajaan akan memberi penekanan terhadap pematuhan dan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) sepenuhnya sekiranya kes COVID-19 terus meningkat.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah membayangkan, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak akan dilanjutkan selepas 4 Februari ini.
Selain itu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini menjelaskan, kira-kira 2.8 juta rakyat mungkin hilang pekerjaan sekiranya penutupan sepenuhnya dilakukan seperti tahun lalu.
Semalam, sebanyak 4,094 kes baharu COVID-19 dicatatkan semalam dengan jumlah keseluruhan 198,208 kes sejak pandemik itu mula melanda Malaysia.