29 JAN: Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad mengakui bahawa terdapat peratus kecil laporan kes terpencil individu yang mengalami komplikasi, namun akhirnya setelah diteliti, ia ternyata tiada perkaitan langsung dengan kesan vaksin.
Justeru itu, beliau menggesa rakyat Malaysia supaya tidak terpengaruh dengan laporan mengelirukan oleh media asing di luar negara yang menyebabkan, masyarakat jadi was-was dan takut untuk mendapatkan suntikan vaksin bakal diberikan secara percuma oleh kerajaan tidak lama lagi.
“Saya juga memohon Ketua Pengarang media arus perdana supaya berhati-hatilah pemilihan tajuk berita terutamanya berkaitan COVID-19 dan vaksin.
“Jangan kerana mahu tarik perhatian pembaca, gunakan perkataan yang mengelirukan dan menakutkan rakyat secara yang negatif dan menggugat usaha kerajaan menangani penularan COVID-19.
“Sebagai contohnya berita daripada Negara China mengenai kaedah swab dari dubur. Tajuk dibaca secara sekali imbas terus jadi viral dan ramai yang buat andaian kononnya kaedah itu di Malaysia.
“Sedangkan berita asal dari China itu sendiri menyatakan China tidak bercadang menjadikan ia kaedah piawai. Pakar dari Malaysia telah menegaskan kaedah yang digunakan sekarang paling sesuai dan berkesan. Implikasi tajuk sebegini menakutkan orang untuk ke hospital,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, beliau menegaskan semua suntikan vaksin COVID-19 bakal diberikan kepada rakyat Malaysia adalah halal, malah tiada langsung unsur sel haiwan terutama babi.
Malah jelasnya, semua vaksin COVID-19 yang ada di dunia sekarang tiada unsur babi.
Katanya lagi, vaksin COVID-19 yang dipilih kerajaan untuk digunakan di Malaysia tidak mengandungi sel haiwan langsung.
“Ini dijelaskan dalam keputusan Fatwa Muzakarah Fatwa Kebangsaan yang disembah maklumkan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan selari fatwa yang serupa di seluruh dunia.
“Malah vaksin-vaksin yang menjadi pilihan Malaysia adalah dalam kelompok yang paling tinggi kadar keberkesanan atau efficacy dan paling banyak dipercayai di seluruh dunia berdasarkan lebih 80 juta dos yang telah disuntik kepada penduduk di lebih 57 negara seluruh dunia dan setiap hari lebih 3.6 juta dos disuntik di merata tempat,” katanya.
“Begitu juga begitu banyak tajuk yang mengelirukan berkaitan vaksin. Ketika seorang ulamak tersohor dari UAE menjelaskan hukum vaksin antara lain menyebutkan ‘Dalam keadaan darurat, vaksin jika sekalipun mengandungi bahan najis seperti babi pun hukumnya dibolehkan’.
“Lalu tajuk berita ditulis ‘Vaksin COVID-19 mengandungi babi hukumnya harus’. Habis jadi bahan percakapan bahawa dalam vaksin COVID19 ada babi. Sedangkan yang sebenarnya ulamak itu menjelaskan hukum dalam keadaan darurat,” katanya. – Oleh Haika Khazi