31 JAN: Prosedur operasi standard (SOP) perlu diperketatkan agar penularan pandemik itu tidak menjadi lebih parah dan matlamat untuk menurunkan angka kes semaksimum yang mungkin akan dapat dicapai.
Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, langkah itu perlu dilakukan apabila ‘PKP 2.0’ dikatakan tidak begitu berjaya melandaikan kes penularan COVID-19 yang mencecah empat angka setiap hari di samping penguatkuasaannya dilihat amat longgar.
Menurut beliau, jika PKP ditamatkan dan PKPB diperkenalkan kembali, perlunya larangan menjalankan perjumpaan sosial beramai-ramai atau apa jua perhimpunan yang melibatkan ramai orang, selain larangan rentas negeri.
“Orang jadi marah sekarang ini kerana walaupun PKP, tetapi SOP tidak tentu hala seperti tiada PKP. Sebenarnya kalau tiada PKP tidak apa tetapi SOP dan pematuhannya adalah yang paling penting bagi melandaikan lengkung penularan.
“Mana-mana majlis tertutup khususnya seperti makan-makan, kenduri-kendara, sambutan hari jadi yang melibatkan ramai orang tidak seharusnya dibenarkan. Buat seperti negara lain contohnya di Singapura, hanya lima orang sahaja maksimum boleh berkumpul untuk majlis sosial.
“Selain itu, jadikan pemakaian pelitup muka sebagai mandatori iaitu apabila keluar rumah sahaja automatik pakai atau dikenakan tindakan. Penjarakan fizikal juga perlu diutamakan, kalau nampak ramai berkerumun di kedai atau pejabat, ambil tindakan,” katanya, hari ini.
Baru-baru ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah membayangkan PKP yang dijadual berakhir pada 4 Februari ini, tidak akan dilanjutkan bagi mengelak kesan negatif terhadap ekonomi negara, susulan pelaksanaannya.
Dalam pada itu, Zainal memberitahu kerajaan juga perlu bertindak lebih tegas terhadap industri perkilangan dengan menutup kilang terbabit apabila terdapat laporan bahawa pekerja mereka positif COVID-19.
Tambah beliau, kerajaan juga sepatutnya menyediakan dan menunjukkan kepada rakyat segala strategi mereka untuk melawan COVID-19, seperti Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden mengeluarkan 200 muka surat strategi untuk memerangi wabak tersebut pada hari pertama menjadi presiden.
“Kilang mencatatkan kes yang sangat tinggi, jadi kerajaan perlu lebih bertegas… kalau dahulu bila kes ribu-ribu baru diarahkan tutup, tetapi sekarang ini jika kilang catatkan satu atau dua kes sahaja ia perlu diarahkan tutup sampailah keadaan bertambah baik.
“Kerajaan juga boleh melaksanakan PKP bersasar dengan ‘menutup’ negeri-negeri yang mencatatkan kes yang tinggi seperti Kuala Lumpur, Selangor dan Johor,” katanya.
Selain itu, beliau turut mengingatkan meskipun PKP ditamatkan dan diganti dengan kaedah yang lain, namun angka positif diramal tidak akan menurun untuk sekurang-kurangnya 10 hingga 14 hari berikutan tempoh pengeraman COVID-19.