3 JUN: Pergerakan Pemuda UMNO bersetuju dengan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor sekiranya perebutan kuasa dalam kalangan wakil rakyat di negeri itu masih berpanjangan.
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, langkah itu harus diambil jika sketsa perebutan kuasa dan insiden ugut-mengugut dalam kalangan wakil-wakil rakyat Johor berterusan.
“Begitu jugalah senario di peringkat Persekutuan, jika masih berterusan kerenah ugut-mengugut untuk meletakkan jawatan Kabinet dan mencetuskan ketidakpuasan hati kepada kerajaan walaupun negara sedang berhadapan dengan pandemik COVID-19, maka jalan terbaik serah kembali mandat kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan melalui laman Facebook beliau hari ini.
Dengan cara itu, jelas beliau, rakyat boleh memilih pemimpin yang benar-benar ikhlas berjuang untuk kebajikan mereka berbanding kepentingan perebutan jawatan dan pangkat yang tiada penghujung hingga boleh menyusahkan rakyat dan membobrokkan negara.
Asyraf menjunjung kasih titah Sultan Ibrahim hari ini berhubung kekecewaan baginda dengan kemelut politik yang masih berlaku di negeri ini, apabila ada pemimpin yang gila kuasa dan terus merebut jawatan demi kepentingan diri mereka.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Naning, Md Ysahrudin Kusni berkata, semua ADUN di Johor perlu menjunjung titah Sultan Ibrahim kerana bagina mempunyai kuasa mutlak untuk membubarkan DUN.
Pada masa yang sama, beliau berharap Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan dapat menghadap baginda untuk mempersembahkan pandangan tentang pelaksanaan pilihan raya negeri (PRN) dalam situasi COVID-19 ketika ini.
Md Ysahrudin berpandangan, pelaksanaan PRN dalam keadaan sekarang bukan sesuatu yang mudah kerana banyak aspek seperti keselamatan dan kesihatan pengundi perlu diambil kira.
“Namun, terserah kepada Tuanku Sultan Johor dan penasihat baginda untuk mengadakan perbincangan dengan MKN, Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa lain bagi menentukan kesesuaian tarikh PRN jika diadakan kelak,” katanya kepada PN BBC Portal.
Dalam pada itu, PH Johor konsisten dengan pendirian bahawa mandat rakyat yang diterjemahkan melalui Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) mesti dikembalikan mengikut proses dan lunas perundangan sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan.
“PH Johor menegaskan komitmen serta keyakinan penuh terhadap amalan Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan yang menjadi tulang belakang kepada negeri dan negara kita.
“Kami akan sentiasa berpegang teguh kepada prinsip ini dalam apa jua keadaan, termasuklah dalam mendepani situasi politik semasa ketika ini,” jelas PH Johor menerusi kenyataan bersama Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Aminolhuda Hassan; Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong.
Usaha PN BBC Portal untuk mendapatkan beberapa ADUN yang lain termasuk Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohamad bagi menjunjung kasih titah Sultan Ibrahim tidak berhasil.
Berapa ADUN yang lain termasuk bekas Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal (Bukit Kepong), Tosrin Jarvanthi (Bukit Permai) dan Dr Faizul Amri (Serom) juga enggan memberi kenyataan – Oleh HAIKA KHAZI