1 FEB: Sebanyak 47 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat pemula menerima geran bernilai RM2.35 juta daripada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
Sebahagian besar penerima Geran Kandungan Digital (DCG) 2020 di bawah Belanjawan 2020 dan DCG Penjana itu adalah dari industri kandungan kreatif digital (70 peratus) diikuti oleh perkhidmatan profesional (21 peratus), pendidikan (tujuh peratus) dan industri lain (dua peratus).
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri, perbadanan itu menjadikan PKS dan syarikat pemula berkembang maju dalam era Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0).
Beliau berkata, usaha itu dilakukan dengan terus memperkasakan bakat berkemahiran digital, mengaktifkan perniagaan bertenaga digital dan menarik pelaburan sektor digital.
“MDEC berada di sini untuk menyokong ekosistem digital dan mempercepat penggunaan digital.
“Pemberian geran ini bertujuan untuk membina keupayaan dan kemampuan, memberi peluang kepada perniagaan untuk menjadi juara serantau,” katanya dalam satu kenyataan.