1 FEB: Fasiliti kesihatan di hospital swasta kini telah bersiap sedia menerima pesakit COVID-19 seperti yang diarahkan kerajaan sebelum ini.
Pengerusi Nexus Penjagaan Kesihatan Swasta (PHPN), Datuk Dr Jacob Thomas berkata, hospital swasta turut menyediakan sebanyak 71 unit ventilator kepada hospital kerajaan di seluruh negara.
Tambah beliau, pada ketika itu kes yang direkodkan di Unit Penjagaan Intensif (ICU) dan Unit Penjagaan Jantung (CCU) telah mula menunjukkan penurunan.
”Selain itu, terdapat juga pesakit bukan COVID-19 yang dipindahkan ke hospital swasta contohnya pesakit yang perlu menjalani ujian dialisis dan pembedahan.
“Ini bagi mengurangkan risiko jangkitan dan membantu meningkatkan lagi kapasiti wad dan katil di hospital kerajaan,” katanya hari ini.
Dalam pada itu, Jacob memberitahu, kesemua inisiatif ini bertujuan membantu mengurangkan kesesakan pesakit-pesakit Covid-19 yang kini mula memenuhi fasiliti kesihatan kerajaan.
“Perubahan yang sistematik dan holistik, pihak hospital swasta mampu memaksimumkan sumber dari pelbagai sudut seperti peralatan, teknologi, kepakaran dan penjagaan pesakit.
”Semua ini dapat menyumbang kepada peningkatan produktiviti di hospital kerajaan yang mana para barisan hadapan kini berdepan dengan tekanan fizikal dan mental dalam mendepani situasi yang sangat mencabar ini,” katanya.
Terdahulu, PHPN merupakan inisiatif peningkatan produktiviti yang diterajui oleh sektor swasta dan disokong oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).
Antara langkah yang diambil oleh PHPN dalam membantu kerajaan termasuk menyediakan pusat saringan di hospital swasta serta ujian swab kepada pekerja-pekerja asing.
Setakat ni sebanyak 130 fasiliti swasta yang menyediakan pusat saringan COVID-19.