2 FEB : Kes harian baharu COVID-19 hari ini mencatatkan penurunan dengan sebanyak 3,445 kes direkodkan hari ini, berbanding lebih 4,000 kes dilaporkan semalam, menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 terkini adalah sebanyak 222,628 kes, manakala kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 47,487 kes.
Namun, kes kematian meningkat sebanyak 21 orang yang direkodkan setakat tengah hari tadi berbanding 10 kematian yang dicatatkan semalam, sekaligus mencatat rekod baharu kes kematian tertinggi akibat jangkitan COVID-19.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes-kes kematian pada hari ini melibatkan 12 kes di Selangor, empat kes di Sabah, masing-masing dua kes di Johor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dan satu kes di Kedah.
Jelasnya, sebanyak 20 kes kematian pada hari ini melibatkan warganegara dan satu kes bukan warganegara menjadikan jumlah kes keseluruhan kes kematian meningkat sebanyak 791 kes sepanjang pandemik melanda negara.
Menurut beliau, Selangor kekal mencatatkan bilangan kes COVID-19 harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,145 kes yang direkodkan di negara ini setakat tengah hari tadi.
“Daripada jumlah kes baharu berkenaan, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan lima kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara, manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah sebanyak 3,450 kes.
“Sebanyak 327 kes kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 145 dan jumlah keseluruhan 791 kematian setakat ini,” katanya menerusi kenyataan di Facebook miliknya, hari ini
Pada masa sama, sebanyak 3,661 kes sembuh direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sebanyak 173, 990 kes atau 78.20 peratus. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH