6 FEB : Sebuah kilang memproses ayam di Serkam, Melaka ditutup selama tujuh hari ekoran seramai 604 pekerja kilang tersebut disahkan positif COVID-19 melalui saringan yang dilakukan sejak Isnin lalu.
Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, jangkitan itu dipercayai bermula daripada pekerja kilang berkenaan yang bergejala sebelum merebak kepada pekerja lain termasuk warga tempatan dan asing.
Disebabkan penularan berkenaan, wujud Kluster Industri Serkam sekali gus memaksa seramai 1,871 pekerja kilang terbabit menjalani ujian saringan sehingga hari ini, katanya lagi.
“Seramai 154 individu yang disaring mempunyai kontak rapat dan disahkan negatif, sudah diarahkan menjalani perintah kuarantin kendiri di rumah, daripada jumlah keseluruhan yang disaring itu, seramai 443 individu terdiri daripada pekerja tempatan dan 1,428 adalah pekerja asing,” ujarnya.
Dr Adham berkata demikian selepas melakukan tinjauan di sebuah kilang pemprosesan ayam di Serkam di Melaka hari ini.
Jelasnya, individu positif yang bergejala akan ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) manakala yang tidak bergejala bagi bukan warganegara pula ditempatkan di asrama pekerja.
“Bagi warganegara yang menjalani perintah kuarantin di rumah akan dikawal selia petugas Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di Kesang Tua dan Parit Gantung.
“Selain untuk proses sanitasi, operasi kilang berkenaan sudah diarahkan tutup selama tujuh hari disebabkan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) iaitu meletakkan pekerja di tempat yang sesak dan sempit dengan tidak menitikberatkan penjarakan fizikal,” tegasnya.