8 FEB: Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) mengesahkan format peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2020 kekal seperti sedia ada.
LPM menerusi satu kenyataan memaklumkan, tiada rombakan terhadap peperiksaan itu sepertimana yang dilaporkan sebuah akhbar tempatan baru-baru ini.
“Laporan tersebut bukan sahaja menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai malah kepada calon peperiksaan SPM tahun 2020.
“Kami ingin menegaskan bahawa format peperiksaan SPM tahun 2020 adalah kekal seperti sedia ada dan tiada sebarang perubahan seperti yang dinyatakan dalam laporan tersebut,” kata kenyataan itu, hari ini.
LPM memberitahu pihaknya, tidak pernah membuat sebarang pengesahan berhubung perkara tersebut.
“Sekiranya terdapat sebarang perubahan kepada format peperiksaan SPM dan sistem pentaksiran, LPM akan memaklumkan secara rasmi kepada orang ramai,” katanya.