8 FEB: Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 18 Taman Perumahan di Bandar Muadzam Shah, Rompin, Pahang, bermula Rabu ini sehingga 22 Februari 2021.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata PKPD yang membabitkan semua taman perumahan di Bandar Muadzam Shah kecuali Bandar Satelit dilaksanakan selepas Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan terdapat peningkatan kes COVID-19 dalam komuniti di kawasan terbabit.
Beliau berkata antara taman berkenaan termasuklah, Desa Bidara, Desa Keranji, Taman Redan Perdana, Desa Teratai, Desa Melor, Desa Mawar 1 dan 2, Desa Jati 1 dan 2; Desa Anggerik, Desa Kenanga, Desa Tanjung, Desa Dahlia 1 dan 2, Desa Cempaka, Desa Alamanda, Pinggir Pelangi dan Desa Semarak.
“Sehingga kini, KKM melaporkan sebanyak 13 kes positif telah direkodkan dalam Kluster Hikmah melibatkan jemaah Masjid AlMuadzam Shah serta ahli keluarga yang tinggal di taman-taman ini.
“KKM turut mengesahkan terdapat peningkatan secara mendadak yang melibatkan komuniti dimana 13 kes tersebut telah direkodkan dalam
masa 10 hari.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan
Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman-taman Perumahan dalam Bandar Muadzam Shah, Rompin seperti yang
dinyatakan bermula 9 sehingga 22 Februari 2021,” katanya dalam satu kenyataan di sini, sebentar tadi.
Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata PKPD berkenaan akan melibatkan seramai 9,805 penduduk dan 2,178 rumah di taman-taman ini.
Beliau berkata pelaksanaan PKPD berkenaan adalah untuk memudahkan KKM membuat pengesanan awal melalui saringan secara bersasar ke atas penduduk di lokalitilokaliti ini dan untuk mengawal penularan jangkitan COVID-19 dalam komuniti di kawasan tersebut. – Oleh Haika Khazi