9 FEB: Cubaan sindiket menyembunyikan dadah dalam bungkusan teh terbongkar apabila Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merampas 402 kilogram (kg) syabu bernilai RM16.1 juta di tebing Sungai Golok di Kampung Lubok Stol, Rantau Panjang, semalam.
Syabu itu disembunyikan dalam ratusan bungkusan teh yang dimasukkan dalam 10 guni itu ditinggalkan di tebing sungai oleh dua individu sebaik menyedari kehadiran sepasukan anggota daripada Batalion Ke-4 Rejimen Sempadan.
Panglima 8 Briged, Brig Jen Zamsari Abu Hassan berkata, ketika rondaan dibuat anggotanya sempena Op Benteng jam 10 pagi semalam, kelihatan dua lelaki dipercayai dari negara jiran sedang menyeberangi Sungai Golok menggunakan bot galah menuju ke tebing.
“Mereka kemudiannya dilihat mengangkut objek dari dalam bot ke tebing sungai di sempadan negara kita dan sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, dua lelaki itu segera melarikan diri ke negaranya.
“Pemeriksaan di tebing sungai menemui 10 guni hitam yang berlabel teh jenama ‘Guanyinwang’ yang mengandungi 402 kg syabu dipercayai diseludup masuk dari negara jiran,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, di sini, malam tadi.
Zamsari berkata, berdasarkan maklumat awal yang diterima, semua syabu itu untuk pasaran tempatan termasuk beberapa negeri luar Kelantan.
Katanya, semua barang rampasan itu diserahkan kepada IPD Pasir Mas yang diwakili Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, bahan larangan itu mendapat permintaan tinggi daripada pengguna dan atas faktor itu, penyeludup dan pengedar berani mengambil risiko cuba membawa masuk walaupun sedar pihak berkuasa sentiasa komited menjalankan kawalan serta rondaan terutama di sempadan negara.
“Lazimnya modus operandi yang dijalankan adalah membawa barangan menggunakan bot dan diletakkan di tebing sungai sebelum ada pihak lain yang akan mengambilnya,” katanya.
Dari segi penugasan sempadan, Zamsari berkata, rondaan secara agresif sentiasa ditingkatkan di kawasan tanggungjawab khususnya dengan pelaksanaan Op Benteng.
Beliau berkata, dengan kerjasama beberapa agensi penguatkuasaan yang lain, banyak jenayah rentas sempadan dapat digagalkan.
“Kita juga memohon kerjasama penduduk setempat agar dapat menyalurkan maklumat serta berganding bahu mencegah sebarang bentuk jenayah rentas sempadan bagi menjamin kedaulatan negara kekal terpelihara,” katanya.