Sultan Johor ada kuasa bubar DUN
4 JUN: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mempunyai kuasa untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor atas nasihat kerajaan negeri.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata, perkara itu termaktub dalam Perkara 23 (2) Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor.
“Jika diteliti, Perkara 23 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor menyebut DYMM Sultan Johor mempunyai kuasa untuk memulakan dan menangguhkan sidang DUN atas nasihat kerajaan.
“Begitu juga dengan Perkara 23(2) yang menyebut baginda mempunyai kuasa untuk membubarkan pada peringkat pertengahan walaupun sidang DUN belum berakhir tetapi mesti atas nasihat dan ini tertakluk kepada Perkara 7(1),” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau menjunjung kasih titah Sultan Ibrahim semalam yang mengingatkan DUN Johor akan dibubarkan serta-merta jika berlaku lagi perebutan kuasa dalam kalangan wakil rakyat.
Baginda amat kecewa dengan kemelut politik yang masih berlaku di negeri ini, apabila ada pemimpin yang gila kuasa dan terus merebut jawatan demi kepentingan diri mereka.
Mohd Razlan menambah, titah Sultan Ibrahim memang tepat dan sesuai dengan keadaan politik semasa di Johor di mana Pakatan Harapan (PH) sebagai pembangkang kelihatan masih tidak bosan bermain politik dalam cubaan menggugat kestabilan kerajaan negeri semata–mata kerana ingin memenuhi agenda politik kotor mereka.
Tegas beliau, PH sepatutnya mendahulukan kepentingan rakyat terutamanya dalam keadaan suasana suram yang tidak menentu sekarang.
“Ditambah lagi dengan sikap segelintir pentaksub PH yang mempersoalkan kuasa Sultan Johor dalam membubarkan DUN Negeri Johor.
“Ingin saya ingatkan mereka serta pemimpin parti pembangkang supaya jangan mulakan sikap kurang ajar dalam mempersoalkan kuasa–kuasa Sultan Johor,” jelasnya. – Oleh HAIKA KHAZI