11 FEB : Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam satu kenyataan berkata, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun 2020 adalah lebih baik daripada jangkaan dengan ekonomi negara telah menunjukkan pelbagai tanda-tanda pemulihan.
Menurutnya, Malaysia mencatat penyusutan 3.4 peratus bagi suku keempat 2020 ketika peningkatan ketara kes jangkitan COVID-19, sekali gus menjadikan prestasi keseluruhan tahun tersebut kepada -5.6 peratus, berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan serta penutupan sempadan di peringkat global.
“Penguncupan ini adalah lebih baik berbanding unjuran awal oleh organisasi antarabangsa seperti Tabung Kewangan Antarabangsa atau IMF (-5.8 peratus), Bank Dunia (-5.8 peratus) dan Bank Pembangunan Asia (-6.0 peratus),” kata beliau dalam kenyataan tersebut.