14 FEB: Berapa institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan menyangkal laporan sebuah portal bahasa Inggeris kononnya pelajar mereka adalah antara yang paling ramai menjadi ‘sugar baby’ menerusi aplikasi Sugarbook.
Antara IPT terbabit adalah Sunway Unversity dan Universiti Teknologi MARA.
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi, Prof Datuk Dr Husaini Omar berkata, IPT terbabit menjelaskan terdapat banyak keraguan terhadap data yang dikemukakan.
“Antaranya, Sunway Education Group menyatakan bahawa agak mustahil 45 peratus daripada pelajar Sunway University terlibat sebagai sugar baby.
“Ini kerana jumlah pelajar Sunway University pada masa kini adalah lebih kurang 7,000 pelajar sahaja.
“Oleh itu, laporan yang disiarkan oleh media bahawa seramai 3,105 pelajar Sunway University sebagai sugar baby adalah tidak munasabah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau menambah, UiTM juga telah membuat laporan polis bagi menafikan laporan oleh pihak media pada 10 Februari lalu.
Walau bagaimanapun, Husaini memberitahu, KPT bersama-sama dengan pihak universiti akan menangani isu ini dengan lebih berkesan.
“Pihak universiti akan menjalankan semakan dalaman secara terperinci bagi memastikan apa yang dilaporkan oleh pihak media dapat ditangani sebaik-baiknya.
“Pihak KPT juga akan melaksanakan sesi libat urus dengan pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan agar satu program yang berterusan dan menyeluruh dapat dirangka dalam memastikan sahsiah pelajar dan imej IPT di Malaysia terjaga,” jelasnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN