15 FEB: UMNO Sabah meletakkan sasaran bertanding sekurang-kurangnya 10 hingga 13 kerusi daripada 25 kerusi Parlimen di negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata sasaran itu mengambil kira jumlah kerusi ditandingi parti itu pada PRU-14 sebanyak 14 kerusi.
Katanya, sasaran parti itu juga mengambil kira kajian Sekretariat Penyelidikan, Jabatan Urusan Pilihan Raya (JUARA) UMNO Sabah mengenai sokongan di kerusi yang dituntutnya.
Menurut beliau, sekretariat itu yang diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Ir Shahelmey Yahya akan menjalankan kajian berkaitan perkara itu dalam masa terdekat.
Bung Moktar menjelaskan, hasil laporannya nanti akan dijadikan panduan untuk UMNO memuktamadkan keputusan mengenai kerusi Parlimen yang bakal ditandingi parti itu.
Beliau berkata demikian selepas mesyuarat JUARA UMNO Sabah, di Kota Kinabalu, semalam yang turut dihadiri, Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Yakub Khan; Pengerusi JUARA UMNO Sabah yang juga Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Arifin dan Pengarah Pilihan Raya PRU-15 UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak.
Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, berkata UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah akan berunding terlebih dulu dengan parti lain dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengenai agihan kerusi masing-masing.