17 FEB: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin bahawa DidikTV KPM akan dapat membantu pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), khususnya bagi murid yang tidak mempunyai akses kepada pendidikan secara dalam talian.
Katanya, ibu bapa juga boleh meluangkan masa untuk menonton rancangan tersebut bersama-sama anak-anak mereka.
Menurut beliau, ini merupakan usaha berterusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti kerana kerajaan sedar akan keresahan rakyat dalam situasi sukar dan mencabar ini, termasuk hal berkaitan pendidikan anak-anak.
“DidikTV KPM akan menyiarkan program-program yang berteraskan kurikulum dan kokurikulum KPM. Saluran ini juga akan menyiarkan berita
mengenai dunia pendidikan daripada peringkat pra sekolah hingga tingkatan 6, program bercorak didik hibur (edutainment) serta kandungan yang dihasilkan oleh murid.
“Selain itu, kandungan pembelajaran sepanjang hayat yang memberi fokus kepada nilai-nilai murni dan pembangunan karakter murid akan turut disiarkan,” katanya ketika berucap menyempurnakan pelancaran DIDIK TV KPM, hari ini.
Siaran TV pendidikan secara terestrial yang mula disiarkan sekitar tahun 1972 telah melalui pelbagai evolusi dalam aspek kandungan siaran dan kaedah penyampaian.
Pada 1 Mac 2008, TV Pendidikan secara terestrial telah ditukar kepada format dalam talian melalui portal EduwebTV dan seterusnya ditamatkan pada 1 Januari 2009.
Namun demikian, KPM telah mengambil inisiatif menghidupkan kembali slot program TV Pendidikan secara terestrial pada awal tahun lalu, iaitu semasa PKP mula dilaksanakan pada 18 Mac 2020. Ini sebagai usaha untuk membolehkan murid mendapat akses kepada bahan pembelajaran melalui televisyen.
Dalam pada itu, Muhyiddin yakin dan percaya warga pendidik di negara ini mempunyai kemahiran dan kepakaran dalam menyampaikan kandungan pembelajaran secara kreatif.
“Antara yang menarik perhatian saya adalah cara penyampaian guru yang begitu kreatif serta mudah diterima dan difahami oleh murid. Saya juga difahamkan bahawa guru yang dijemput untuk mengajar adalah daripada kalangan guru yang berpengalaman dalam bidang masing-masing.
“Ini adalah supaya kualiti pengajaran yang disampaikan untuk murid adalah pada tahap yang terbaik. Program sebegini adalah sangat baik bagi membantu calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan mula menduduki peperiksaan pada minggu hadapan, “katanya.
Justeru, Perdana Menteri segala usaha yang dilaksanakan itu memerlukan sokongan padu dan kerjasama erat daripada semua pemegang taruh, khususnya murid, guru dan juga ibu bapa.
“Besarlah harapan saya agar saluran DidikTV KPM yang mula bersiaran pada hari ini akan menjadi platform untuk memperkasakan lagi budaya ilmu, menerapkan nilai murni dan mewujudkan masyarakat berinformasi,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH