17 FEB: Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) yang ditubuhkan akan menyelaras pelbagai perkhidmatan kesihatan merangkumi bidang tugasan pengurusan logistik vaksin, pendaftaran dan mengenal pasti kategori penerima vaksin COVID-19.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata, ia turut membabitkan penyelarasan berkenaan pemantauan pasca-vaksinasi, pentadbir vaksin dan pusat imunisasi di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurutnya, pasukan petugas khas tersebut yang diketuainya itu akan membuat laporan kepada Jemaah Menteri.
“Pasukan Pengurusan CITF akan diselia oleh dua Pengarah Bersama, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Chong Chee Keong dan Timbalan Panglima Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Mohammad Ab Rahman.
“Ini adalah lanjutan pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam (kelmarin) berkenaan penubuhan satu pasukan petugas khas untuk menguruskan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
“Struktur CITF menekankan kepada tindakan bersepadu pelbagai kementerian dan badan kerajaan bagi memastikan PICK dapat dilaksanakan dengan kemas, lancar dan teratur dalam mencapai objektifnya,” katanya menerus sidang media secara maya mengenai penyelarasan pasukan petugas khas imunisasi Covid-19, hari ini.
Dalam pada itu, Khairy memberitahu, CITF telah mengadakan mesyuarat pertama kelmarin bagi memperincikan penyelarasan bidang tugas, struktur kerja dan perancangan keseluruhan PICK.
Dalam mesyuarat itu, tambah beliau, MKN membentangkan kertas kerja berkaitan Pusat Kawalan CITF di peringkat kebangsaan, negeri dan daerah serta mekanisma penyelarasan yang menghubungkan pelbagai peringkat ini.
“Menerusi CITF, pengurusan sumber manusia akan diselaraskan dengan perkhidmatan bukan kesihatan yang bertanggungjawab bagi pengurusan logistik (utiliti, tempat letak kereta, ICT
“Dan juga peralatan bukan (ICT), dokumentasi, rekod dan pendaftaran, pengurusan maklumat geo-dataraya, komunikasi strategik, pentadbir pusat vaksin di fasiliti awam, pengurusan pengangkutan penerima vaksin, pengurusan sumber manusia, bahagian dan agensi serta sukarelawan, “katanya.
Sementara itu, Khairy turut memaklumkan, kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menambah perolehan bekalan vaksin satu dos suntikan daripada syarikat Johnson & Johnson (J&J).
Beliau berkata, rundingan untuk mendapatkan bekalan vaksin daripada syarikat tersebut setakat ini menunjukkan perkembangan yang baik.
“Jawatankuasa bekalan vaksin juga telah memberikan persetujuan bagi mendapatkan vaksin berkenaan.
“Jadi, masih dalam rundingan dan saya difahamkan Kementerian Kesihatan (KKM) akan menandatangani kontrak untuk memperolehi vaksin dan selepas itu baru ia akan dihantar untuk penilaian NPRA,”katanya.