SPRM buat laporan polis terhadap Ulya
5 JUN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat laporan polis terhadap individu bernama Ulya Hishammuddin di Balai Polis Putrajaya, hari ini.
Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Norazlan Razali, berkata laporan polis terbabit dibuat selepas Ulya didapati memuat naik status berunsur tohmahan.
Beliau berkata sebelum ini Ulya mendakwa siasatan SPRM terhadap beberapa Exco Armada adalah bermotifkan politik bagi menutup mulut mereka berhubung pendedahan audio berkaitan penawaran jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Selain itu, beliau (Ulya) juga telah membuat pertuduhan liar menyatakan SPRM menahan empat oleh ahli armada iaitu Adam Mukhriz, Hannan Khairy, Redzuan Shafi dan Daniel Khusairi yang dikatakan telah dibuat tanpa mengikut prosedur dan undang-undang.
“Ini adalah suatu tohmahan berbaur fitnah dan saya sekali lagi ingin menegaskan bahawa siasatan SPRM bukan bermotifkan politik tetapi berkaitan kes kehilangan wang seorang pemimpin Armada serta penyelewengan dalam akaun Armada,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Norazlan juga mengesahkan SPRM mengesahkan bahawa satu lagi tangkapan telah dibuat ke atas seorang ahli Armada yang bertindak sebagai Bendahari sebuah pertubuhan belia.
Katanya, tangkapan berkenaan adalah berkaitan dengan kes sama yang sedang disiasat SPRM.
“Lelaki berusia 27 tahun telah ditahan lewat petang semalam di Ibu Pejabat SPRM dan telah direman selama 4 hari bermula 5 Jun lalu hingga 8 Jun ini bagi membantu siasatan. Beliau dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi,” jelassnya.
“Sekali lagi saya menegaskan bahawa siasatan ini bukan bermotifkan politik dan berharap senua pihak menghentikan sebarang bentuk spekulasi dan memberikan kerjasama kepada SPRM untuk melengkapkan siasatan,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI