SEBERANG PERAI – Hanya kerana mahu ke pasar raya, seorang wanita tergamak menyembunyikan anak tirinya di dalam but kereta dipandunya bertujuan untuk merentas daerah di Seberang Jaya di sini semalam.
Cubaan wanita berusia 35 tahun itu bagaimanapun gagal selepas dia yang memandu kereta jenis Proton Waja itu ditahan di sekatan jalan raya (SJR) di Kilometer 2.4 Lebuh Raya Butterworth- Kulim.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, wanita itu ditahan susulan berada dalam keadaan mencurigakan sebelum pihak polis memeriksa keretanya.
Menurutnya, seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang didakwa kawan anak tirinya didapati berada di bahagian penumpang hadapan.
“Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut di bahagian but membawa kepada penemuan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang merupakan anak tirinya.
“Hasil siasatan mendapati wanita itu dari arah Butterworth menghala ke sebuah pasar raya di Seberang Jaya untuk membeli pakaian,” katanya hari ini.
Shafee menambah, memandangkan hanya dua orang saja dibenarkan dalam satu kenderaan, wanita itu bertindak menyembunyikan anak tirinya di dalam but kereta bagi mengaburi mata polis ketika melalui SJR
“Tindakan kompaun dikenakan terhadap wanita ini manakala dua remaja berkenaan dilepaskan kerana masih di bawah umur,” katanya.