18 FEB : Walaupun kes baharu jangkitan COVID-19 mula menunjukkan penurunan manakala kes sembuh juga meningkat, tetapi jumlah kematian akibat pandemik itu pula semakin membimbangkan.
Hari ini, sebanyak 25 kes kematian akibat jangkitan COVID-19 dilaporkan menjadikan ia rekod baharu tertinggi kes kematian harian yang pernah dicatatkan sepanjang pandemik ini melanda negara, berbanding 24 kes kematian yang pernah dicatatkan sebelum ini pada 8 Februari lalu.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham, kes-kes kematian pada hari ini melibatkan 15 kes di Selangor, masing-masing tiga kes di Sarawak dan Sabah, dua kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, serta masing-masing satu kes di Johor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.
“Sebanyak 21 kes kematian melibatkan warganegara dan empat kes melibatkan bukan warganegara. Ini menjadikan jumlah kumulatif kematian akibat jangkitan COVID-19 di negara ini adalah sebanyak 1,030 kes,” ujarnya menerusi satu kenyataan media harian berkenaan perkembangan COVID-19 di negara ini.
Sementara itu, Noor Hisham berkata, kes baharu jangkitan COVID-19 masih kekal di angka bawah 3,000 apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesan sebanyak 2,712 kes baharu menjadikan jumlah kumulatif kes jangkitan di negara ini meningkat sebanyak 274,875 kes.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,588 kes melibatkan warganegara, 1,120 kes pula melibatkan bukan warganegara, termasuk empat kes import di mana tiga kes melibatkan warganegara dan satu kes bukan warganegara.
“Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,013 kes (37.4 peratus). Daripada jumlah ini, sebanyak 795 kes (78.5 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan.
“Ini diikuti oleh Johor sebanyak 426 kes (15.7 peratus) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 212 kes (7.8 peratus).
“Sebanyak 43 kes (1.6 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara, lokap, dan depot tahanan imigresen yang membabitkan Kluster Tembok Bendera (19 kes), Kluster Telok Mas (11 kes), Kluster Tembok Sungai Udang (8 kes), Kluster Tembok Pengkalan Chepa (1 kes), Kluster Matambai (1 kes), Kluster Penjara Kepayan (1 kes), Kluster DTI Sepang 2 (1 kes), dan Kluster Penjara Seberang Perai (1 kes),” ujarnya.
Jelas Dr Noor Hisham lagi, kes aktif kebolehjangkitan pula dilihat menurun berbanding semalam iaitu sebanyak 38,763 kes pada hari ini.
“Kes sembuh yang dicatatkan hari ini ialah sebanyak 5,320 kes menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh adalah sebanyak 235,082 kes. Dalam pada itu, sebanyak 227 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 103 kes pula memerlukan bantuan pernafasan,” ujarnya.