19 FEB: Kesukaran bergerak mengedar dadah sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) menyebabkan sindiket pengedaran dadah beralih menggunakan perkhidmatan kurier bagi meneruskan kegiatan mereka.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, penggunaan taktik itu menunjukkan peningkatan ketara dengan pengedar menyembunyikan dadah di dalam barangan penting dan barangan keperluan asas sejak tahun lepas.
“Sepanjang tahun lepas, polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah menggunakan perkhidmatan kurier membabitkan 84 kes dan membuat 103 tangkapan manakala tahun ini membabitkan lima kes dan empat tangkapan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Razarudin berkata, selain menggunakan perkhidmatan kurier, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga menumpaskan sindiket pengedaran dadah menggunakan perkhidmatan e-hailing, membabitkan 29 kes dan 39 tangkapan di seluruh negara, dalam tempoh sama pelaksanaan PKP, PKPB dan PKPP.
“Pengedar didapati menggunakan perkhidmatan penghantaran e-hailing untuk membuat penghantaran dadah dengan menyembunyikannya di dalam bungkusan makanan atau barang yang dihantar bagi mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya.
Jelasnya lagi, cara lain yang digunakan pengedar dadah ialah dengan menggunakan pengangkutan penghantaran barangan penting dan barangan keperluan asas kerana hanya lori tertentu dibenarkan membuat pergerakan merentas daerah dan negeri.
“Sindiket pengedar dadah juga dikesan menganjurkan parti haram di kondo-kondo mewah kerana pusat hiburan masih tidak lagi dibenarkan beroperasi selain turut melakukan penjualan secara dalam talian termasuk menerusi website e-dagang popular, di mana penjualan dan pembelian berlaku secara terbuka,” katanya.