20 FEB: Timbalan Presiden UMNO , Datuk Seri Mohamad Hasan berharap Kementerian Pendidikan (KPM) dapat menyediakan rangka hala tuju lebih jelas mengenai pendidikan digital bagi mengelak kekeliruan khususnya kepada ibu bapa.
Mohamad berkata, tindakan berkenaan perlu berikutan pengenalan beberapa inisiatif baharu oleh KPM seperti DidikTV KPM serta proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) yang menggunakan peranti.
“Kerajaan baru melancarkan DidikTV bagi menjayakan mod pengajaran dan pembelajaran di rumah. (Semalam) KPM mengumumkan pembukaan sekolah secara berperingkat mulai 1 Mac.
“Semua ini menghantar isyarat yang sangat mengelirukan mengenai hala tuju sebenar mod pendidikan digital. Justeru KPM wajar memperkasakan pembelajaran digital sementara negara pulih sepenuhnya daripada wabak COVID-19 ini,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebook, hari ini.
Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Md. Jidin pada sidang media khas semalam mengumumkan sesi persekolahan bagi pelajar murid Tahun 1 hingga dan Tahun 2 di semua sekolah kerajaan akan bermula pada 1 Mac ini
Pembukaan sekolah bagi murid Tahun 3 hingga Tahun 6 pula adalah pada 8 Mac manakala pelajar sekolah menengah di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu akan mula bersekolah pada 4 April sementara sekolah menengah di negeri selebihnya mula dibuka pada 5 April depan.
Mengulas lanjut, Mohamad yang juga merupakan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, adalah penting bagi kerajaan mengambil kira segala kemungkinan dan kemampuan menangani kesan pandemik sebelum membuat keputusan membuka semula sekolah.
Katanya, pendidikan anak-anak adalah urusan penting yang tidak boleh terhenti dan menjadi kucar-kacir dengan keputusan secara sela-menyela atau tidak ketentuan.