22 FEB : UMNO adalah sebuah parti yang bukan dimiliki oleh mana-mana individu atau pemimpin, tetapi ia merupakan sebuah parti yang menjadi milik tiga juta ahlinya yang setia pada setiap masa berjuang bersama UMNO, demikian tegas bekas presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sehubungan itu, kata Najib, mana-mana individu atau pemimpin boleh terus bergerak dan berjuang di dalam UMNO selagi mereka tidak melakukan sebarang perbuatan atau tindakan yang melanggar undang-undang parti.
Justeru kata Najib lagi, adalah tidak wajar bagi seseorang individu atau pemimpin yang pernah keluar parti dan mahu kembali semula kepada parti meletakkan syarat tidak mahu pemimpin tertentu berada di dalam parti, sekiranya dia mahu kembali semula menyertai UMNO.
“Ini kerana UMNO adalah parti yang bukan milik mana-mana individu atau presiden parti , ataupun bekas presiden parti sekalipun, sama sekali tidak! UMNO adalah milik tiga juta ahlinya.
“Jadi, mana-mana ahli yang pernah keluar, boleh sahaja memohon untuk balik semula kepada UMNO, termasuk Tun Mahathir Mohamad. Mereka yang keluar daripada UMNO, hendak kembali kepada UMNO, itu boleh dipertimbangkan.
“Tetapi mereka yang mahu kembali kepada UMNO tidak bolehlah meletakkan syarat dan itu dia kena terima. Dia mahu masuk UMNO, dia kena terima dasar UMNO dan dia kena terima sesiapa sahaja yang ada dalam UMNO,” tegasnya.
Itu mesej jelas Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) kepada mereka yang telah keluar daripada UMNO dan mahu menyertai parti itu semula, termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam program temubual Eklusif Bersama Datuk Seri Najib Razak, yang disiarkan di Astro Awani sebentar tadi.
Terdahulu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui beliau masih menyayangi parti pertama yang pernah dipimpinnya iaitu UMNO sehingga kini.
Bagaimanapun, Pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang kini Penasihat Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu meletakkan syarat antaranya tidak mahu pemimpin tertentu berada di dalam UMNO sekiranya ada pihak yang mahu beliau kembali kepada parti lamanya itu.
Dalam pada itu, mengulas mengenai desakan rakyat terhadap kesemua parti politik agar mengetengahkan lebih ramai individu yang lebih muda dan segar untuk menerajui kepimpinan, Najib memberitahu usia yang muda semata-mata, bukanlah kriteria yang mencukupi untuk membolehkan seseorang itu menjadi pemimpin yang baik,
Menurut beliau sememangnya peremajaan UMNO iaitu menyediakan lebih banyak ruang untuk pemimpin lebih muda perlu dilakukan, tetapi ia perlu dilakukan secara terancang.
“Saya percaya peremajaan UMNO ini mesti kita lakukan secara terancang. Cuma kita tak boleh terbawa-bawa sangat dengan kefahaman bahawa pemimpin muda semestinya terbaik.
“Saya tak boleh gunakan satu kriteria, kerana bukan soal umur sahaja untuk menentukan pemimpin itu baik atau tidak. Kalau dari segi umur mungkin lebih dinamik, lebih bertenaga, tetapi ada satu atau dua lagi kriteria – pengalaman dan juga kebijaksanaan, wisdom,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Najib berkata, UMNO sebenarnya telah lama mendahului parti-parti lain dalam menyediakan ruang yang secukupnya untuk generasi pelapis.
“Saya menjadi Menteri Besar Pahang pada umur 23 tahun. Yang lain macam Datuk Rais (Tan Sri Rais Yatim) ketika itu, Arwah Datuk Mokhtar Hashim, (Tan Sri) Shahril Samad, (Tan Sri) Rahim Tamby Chik, dan ramai lagi pemimpin yang diketengahkan pada masa itu sebagai pemimpin pelapis, dan mereka diberi peluang untuk menunjukkan kebolehan dan bakat mereka.
“Kalau ada pemimpin muda semata-mata kerana dia muda, yang gagal pun ada. Saya tak payahlah saya sebut nama, memang ada, dan kita boleh lihat sendiri. Kebelakangan ini, ada juga pemimpin muda diketengahkan, tiba-tiba gagal,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Najib, yang merupakan Ahli Parlimen Pekan berkata, beliau mengakui wujud kesukaran untuk golongan pelapis naik, sekiranya pemimpin kanan mengekalkan kedudukan sebagai presiden berpuluh tahun lamanya.
Tambah beliau, keadaan itu akhirnya akan mengakibatkan perubahan generasi dalam parti yang sepatutnya berlaku lebih awal, gagal direalisasikan dengan sewajarnya.
“Jadi bila ada sekatan seperti itu berlaku, jadi yang bawah tak boleh naik. Inilah antara kekangan yang menyebabkan proses itu agak lebih perlahan daripada apa yang patut kita lakukan.
“Ini maknanya kita mesti ada satu perancangan yang secara terancang, dan mungkin kita mesti ada pemimpin yang berlapang dada dan berjiwa besar, yang memahami bahawa antara tugas tanggungjawab seorang pemimpin ialah untuk melatih, beri peluang kepada pemimpin muda ambil tempat kita,” katanya. – Oleh Aiman Saddiq Abdullah