23 Feb: Pemandu sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dipercayai memandu secara melulu dan laju hingga menyebabkan seorang pemandu van cedera parah direman dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan
Semalam, video yang memaparkan kereta jenis Myvi dipandu laju merempuh sebuah van dan Proton Waja itu tular di media sosial.
Kemalangan itu berlaku di Bandar Kinrara, Puchong, Selangor kira-kira 2.40 petang petang semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari berkata, ujian dadah dan alkohol yang dijalankan ke atas suspek bagaimanapun didapati negatif.
“Ujian tambahan turut dilakukan dengan mengambil sampel darah selain kenderaan terlibat akan dihantar untuk menjalani pemeriksaan pakar tertentu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut memohon saksi bebas terutama yang merakam kejadian menerusi dash-cam sebelum kejadian untuk tampil bagi membantu siasatan.
Terdahulu, Azman berkata, polis menahan lelaki berusia 26 tahun itu kerana disyaki memandu secara melulu sehingga melanggar van yang berada di hadapan sebelum terbabas mengakibatkan pemandu van berkenaan cedera parah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.