1 MAC : Tindakan dua Ahli Parlimen (MP) pembangkang yang menyatakan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuktikan kekuatan PN merupakan kerajaan yang sentiasa membela rakyat.
Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC), Datuk Seri Shahidan Kassim merakamkan penghargaan kerana dua ahli Parlimen PKR itu dapat menilai sendiri pentadbiran kerajaan PN adalah yang terbaik dalam menjaga kebajikan rakyat.
“Saya ucap terima kasih kerana mereka sendiri dapat menilai sendiri bahawa bangkangan yang mereka buat selama ini tidak sesuai kepada sebuah kerajaan yang membela rakyat.
“Kerajaan PN adalah kerajaan yang membela rakyat. Jadi, kehadiran mereka ke dalam kerajaan, menyokong kerajaan PN amat dialu alukan dan mereka akan menjadi ahli backbenchers PN,” katanya kepada PN BBC Portal, hari ini.
Terdahulu, sokongan tersebut disahkan Muhyiddin menerusi laman Facebook miliknya selepas beliau mengadakan pertemuan bersama dengan dua bekas Ahli Parlimen Parti Kedilan Rakyat iaitu Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien dan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon sebentar tadi.
Pada pertemuan tersebut, Larry Sng dan Steven Choong menyerahkan aku janji untuk menyokong kerajaan PN.
Dalam pada itu, Shahidan memberitahu, seharusnya tidak timbul isu kononnya Perdana Menteri terpaksa mencari Ahli Parlimen lain bagi memperkukuhkan lagi sokongan kepada kerajaan jika sidang parlimen dilaksanakan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Arau berkata, ini kerajaan masih mempunyai cukup bilangan sokongan di parlimen walaupun jika ketiadaan dua ahli parlimen tersebut.
“Sekarang ini mempunyai cukup bilangan (sokongan) dan sepatutnya ahli-ahli parlimen tidak membangkang kerajaan Tan Sri Muhyiddin ini sebab kerajaan ini betul-betul memberi pembelaan kepada rakyat.
“Jadi, (diri) saya sendiri, apa pun keputusan dibuat parti, saya akan tetap menyokong kerajaan PN sehingga pilihanraya umum yang akan datang,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH