1 MAC: Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, penguatkuasaan tiga undang-undang di bawah Ordinan Darurat di Malaysia sekarang bukan bertujuan untuk membolehkan beliau kekal sebagai Perdana Menteri selama-lamanya.
Perdana Menteri berkata, Proklamasi Darurat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah adalah semata-mata untuk mengatasi masalah COVID-19.
Beliau berkata, sejak darurat berkuat kuasa pada 11 Januari lalu, Yang di-Pertuan Agong sudah memasyhurkan tiga ordinan iaitu Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja) (Pindaan) 2021 dan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021.
Katanya, semua ordinan itu bertujuan membolehkan kerajaan menangani wabak COVID-19 dengan lebih cekap dan berkesan, termasuk menambah baik pengurusan penginapan pekerja asing yang menjadi antara punca utama penularan COVID-19 di negara ini.
“Dengan adanya Proklamasi Darurat, semua ordinan ini dapat dimasyhurkan dalam tempoh yang singkat tanpa perlu melalui proses di Parlimen yang kebiasaannya mengambil masa yang lama.
“Saya sedar dan saya faham maksud demokrasi. Justeru, tidak ada satu pun daripada ordinan ini yang bertujuan untuk membolehkan Perdana Menteri kekal berkuasa selama-lamanya, malah darurat yang sedang dilaksanakan ini juga mempunyai tempoh tamat pada 1 Ogos 2021.
“Inilah kali pertama dalam sejarah negara kita, darurat mempunyai tempoh tamat,” katanya ketika menyampaikan Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin di Putrajaya, hari ini. Majlis turut dihadiri Menteri Kabinet dan pengurusan tertinggi kerajaan.
Terdahulu, Muhyiddin berkata kerajaan menetap tujuh keutamaan yang bakal diberikan penekanan dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) mulai tahun ini.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata keutamaan pertama menangani kemiskinan, khususnya penghapusan kemiskinan tegar dan mengurangkan ketidaksamarataan sosioekonomi.
Katanya, keutamaan kedua memberi penekanan kepada Agenda Pemerkasaan Bumiputera, bagi mengurangkan jurang di antara Bumiputera dengan kaum lain.
“Ketiga, mempercepat pembangunan di Sabah dan Sarawak dan negeri-negeri lain yang kurang membangun dengan memantapkan penyediaan infrastruktur dan kemudahan asas.
“Keempat menyediakan ekosistem yang kondusif untuk membangunkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana. Kelima mempercepat penerima-gunaan teknologi termaju dan pendigitalan.
“Keutamaan keenam menggalakkan pelaburan yang berkualiti dengan memberi tumpuan kepada aktiviti berteknologi tinggi. Manakala, ketujuh mempercepat peralihan kepada ekonomi hijau untuk menyokong agenda pembangunan mampan dan menjadikan Malaysia sebagai negara rendah karbon,” katanya – Oleh Haika Khazi